Dasar Perlindungan Kanak-Kanak Negara
PENGENALAN
Kanak-kanak merupakan modal insan
penting kepada negara. Modal insan ini dapat dibangunkan kepada tahap optimum
melalui penyediaan persekitaran yang selamat dan kondusif. Sehubungan itu,
perlindungan terhadap kanak-kanak daripada pengabaian, penderaan, keganasan dan
eksploitasi adalah satu aspek penting dan hendaklah diberi keutamaan.
Justeru, dasar perlindungan
kanak-kanak amat perlu pada masa ini bagi menggalakkan setiap agensi,
organisasi dan anggota masyarakat memberi keutamaan kepada perlindungan kanak-kanak
sebagai tanggungjawab bersama. Dasar ini adalah selaras dengan falsafah
Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC) dan Akta Kanak-Kanak 2001 yang juga
menekankan prinsip perlindungan kepada kanak-kanak demi kepentingan terbaik
mereka.
DEFINISI
Kanak-kanak didefinisikan sebagai
seseorang yang di bawah umur 18 tahun seperti yang termaktub dalam Akta
Kanak-Kanak 2001.
Perlindungan kanak-kanak merujuk
kepada strategi dan aktiviti untuk mencegah dan bertindak balas terhadap
pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi terhadap kanak-kanak.
Pengabaian merujuk kepada kegagalan
secara berterusan dan serius untuk menyediakan keperluan asas fizikal, emosi
dan pembangunan dari segi kesihatan, pendidikan, perkembangan emosi, nutrisi,
tempat perlindungan dan kehidupan yang selamat untuk kanak-kanak. Pengabaian
boleh mendedahkan kanak-kanak kepada segala bentuk bahaya, termasuk mengancam
nyawa mereka.
Penderaan kanak-kanak adalah satu
pencabulan atau pelanggaran yang serius terhadap hak kanak-kanak untuk berkembang
dalam keadaan sihat dan bermaruah di samping menyebabkan risiko dalam
kelangsungan hidup mereka. Penderaan boleh dikategorikan kepada penderaan
fizikal, emosi, seksual dan pengabaian.
Penderaan fizikal menurut Akta
Kanak-Kanak 2001 adalah apabila seseorang kanak-kanak dicederakan dari segi
fizikal menyebabkan kecederaan yang boleh dilihat pada mana-mana bahagian tubuh
kanak-kanak itu akibat kekerasan atau penggunaan agen yang disengajakan kepada
tubuh kanak-kanak itu.
Penderaan emosi menurut Akta Kanak-Kanak
2001 adalah apabila seseorang kanak-kanak dicederakan dari segi emosi yang
menyebabkan gangguan yang boleh dilihat pada fungsi mental atau emosi
kanak-kanak itu seperti kecelaruan mental atau tingkah laku, keresahan,
kemurungan, penyendirian dan perkembangan lambat.
Penderaan seksual menurut Akta
Kanak-Kanak 2001 adalah apabila seseorang kanak-kanak teraniaya dari segi seks
jika dia mengambil bahagian, sama ada sebagai peserta atau pemerhati, dalam
apa-apa aktiviti yang berunsur seks bagi apa-apa maksud atau eksploitasi seks
oleh mana-mana orang bagi memuaskan nafsu seks orang itu atau orang lain.
Keganasan merujuk kepada sesuatu
tindakan dengan niat untuk menyebabkan sebarang bentuk kecederaan dari segi
fizikal dan emosi terhadap kanak-kanak.
Eksploitasi merujuk kepada
penggunaan kanak-kanak dalam aktiviti yang membolehkan pihak lain mendapat
faedah dari segi kewangan, seksual, politik serta kepentingan lain yang boleh
mengancam kesejahteraan fizikal dan psikologikal mahupun kelangsungan hidup
kanak-kanak.
PERNYATAAN DASAR
Dasar Perlindungan Kanak-Kanak ini
merupakan satu dasar yang mengandungi pernyataan mengenai prinsip perlindungan
kanak-kanak selaras dengan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC) dan Akta
Kanak-Kanak 2001. Dasar ini memberi tumpuan kepada aspek advokasi, pencegahan,
khidmat sokongan dan penyelidikan dan pembangunan bagi melindungi kanak-kanak.
PERNYATAAN MATLAMAT
Secara khususnya, Dasar Perlindungan
Kanak-Kanak bertujuan untuk memastikan setiap kanak-kanak mendapat perlindungan
daripada pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi. Dasar ini juga
menjadi pemangkin kepada kesedaran dan komitmen semua pihak, termasuk setiap
anggota masyarakat dalam melindungi kanak-kanak.
OBJEKTIF
Dasar Perlindungan Kanak-kanak
Negara menetapkan 7 objektif utama seperti berikut:
- meningkatkan kesedaran dan komitmen pelbagai pihak terhadap usaha melindungi kanak-kanak sebagai tanggungjawab bersama;
- mewujudkan persekitaran yang selamat dan mesra kanak-kanak;
- menggalakkan organisasi yang berhubung secara langsung dan tidak langsung dengan kanak-kanak mewujudkan dasar perlindungan kanak-kanak organisasi masing-masing;
- melindungi setiap kanak-kanak daripada sebarang bentuk pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi;
- menetapkan hanya individu yang bersesuaian sahaja boleh berurusan secara langsung dengan kanak-kanak;
- meningkatkan khidmat sokongan bagi menangani pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi terhadap kanak-kanak; dan
- meningkatkan penyelidikan dan pembangunan bagi menambah baik perlindungan terhadap kanak-kanak.
STRATEGI
Bagi mencapai objektif-objektif di
atas, 11 strategi dirangka berasaskan 4 aspek utama iaitu advokasi, pencegahan,
khidmat sokongan dan penyelidikan dan pembangunan. Strategi-strategi tersebut
adalah seperti berikut:
Advokasi
- Menerap dan memupuk kesedaran tentang pentingnya tanggungjawab melindungi kanak-kanak kepada semua lapisan masyarakat termasuk mewujudkan perkongsian pintar (smart partnership) dengan pihak media dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk sektor swasta dan organisasi masyarakat.
- Memastikan mereka yang berurusan secara langsung dengan kanak-kanak berupaya mengenal pasti dan seterusnya melaporkan kes-kes pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi.
- Memastikan kanak-kanak dan anggota masyarakat termasuk pengamal undang-undang, penuntut jurusan undang-undang, pendidik, pekerja sosial, doktor, anggota penguat kuasa (seperti pegawai polis dan imigresen), pemandu pengangkutan awam (seperti bas dan teksi) dan pengawal keselamatan diberi kefahaman mengenai hak kanak-kanak di bawah Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) dengan fokus kepada aspek perlindungan.
- Menggalakkan penyediaan persekitaran yang sihat dan selamat untuk kanak-kanak.
- Menggalakkan setiap organisasi mewujudkan dasar dan peraturan mengenai perlindungan kanak-kanak.
Pencegahan
- Mewujudkan mekanisme amaran awal dan mengukuhkan mekanisme perlindungan kanak-kanak di peringkat nasional dan antarabangsa.
- Menyediakan pengetahuan asas kepada kanak-kanak untuk membolehkan mereka melindungi diri daripada pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi serta mengenal pasti keadaan yang berisiko kepada mereka.
- Mewujudkan sistem saringan, pengiktirafan dan latihan bagi mereka yang bekerja secara langsung dengan kanak-kanak.
Khidmat Sokongan
- Memperluas dan meningkatkan perkhidmatan kaunseling kepada mangsa, keluarga, pesalah dewasa, pesalah kanak-kanak dan komuniti setempat.
- Meningkat dan memperluaskan perkhidmatan perlindungan dan kesihatan kepada mangsa dan keluarga.
Penyelidikan dan Pembangunan
Menggalakkan penyelidikan dan pembangunan mengenai perlindungan
kanak-kanak serta menyebar luas hasil penyelidikan untuk tindakan
penambahbaikan.
Sumber :Jabatan Kebajikan
Masyarakat ...
Comments
Post a Comment