Tolonglah Jangan Sombong*
Apabila kita
tidak berilmu, kita harus mengamalkan sifat merendahkan diri untuk belajar.
Kita tidak boleh menjadi orang sombong, kerana dengan kesombongan itu, kita
akan menjadi orang bodoh. Sekalipun seseorang itu mempunyai ilmu yang mencapai
tahap ijazah kedoktoran (PhD), jika dia sombong, ijazah kedoktorannya itu tidak
akan menjadikan dia lebih bijaksana. Hal ini kerana, orang sombong dengan
ilmunya tidak akan suka ditegur dan dibetulkan. Dia merasakan dirinya sentiasa benar
dalam semua perkara. Maka jika dia tersalah, dia akan kekal dalam kesalahan
itu. Dia juga tidak suka menadah ilmu daripada orang yang dirasakannya lebih
rendah tahap ilmunya. Maka ilmunya tidak akan meningkat dan berkembang, tetapi
akan beku atau hanya menjurus pada satu-satu bidang yang dia pakar sahaja.
Lain halnya
dengan ahli ilmu yang tawaduk atau merendah diri. Seorang yang tawaduk akan
sanggup menadah ilmu daripada siapa saja. Dia juga rela ditegur dan dikritik.
Kepada orang yang merendah diri, Allah akan berikan padanya hati yang lapang,
fikiran yang cerdas dan perasaan yang tenang untuk mendapat ilmu yang banyak.
Ilmu akan
meninggikan darjat seseorang di sisi Allah dan manusia tetapi dengan syarat,
orang itu merendah diri. Namun sekiranya dia angkuh, tunggulah, ilmu itu yang
akan menghenyaknya ke bawah. Ingatlah, rasa tidak berilmu adalah pakaian
peribadi orang yang benar-benar berilmu.
Sumber : Nota
Fikir untuk Zikir (Pahrol M Juoi)
************
dimana kita datang, di situlah tempatnya kita kembali...
Comments
Post a Comment