Sesuci kasih ibu
Suasana waktu pagi di Kampung Melawati sungguh
tenang. Dihiasi pula pemandangan yang cukup indah. Tumbuh-tumbuhan hijau yang
mekar di tanah, udara yang nyaman serta bersih dari pencemaran. Ditambah pula
muzik semulajadi kicauan burung yang bebas berterbangan di awan, sungguh
makhluk-makhluk ini tahu menghargai kurniaan Tuhan yang serba indah ini.
Di
sebalik pepohon yang rendang itu, kelihatan seorang jejaka berusia dalam
lingkungan 25 tahun sedang mencuci motorsikal. Tangannya giat mengelap motorsikal
tersebut. Setiap inci dan setiap bahagian dilapnya. Gigih sekali perwatakannya.
Sesekali angin sepoi-sepoi bahasa membelai lembut wajahnya seolah-olah mengerti
kepenatan lelaki itu. Lantas manik-manik jernih yang timbul di dahinya itu
mulai hilang.
“Alhamdulillah,
siap juga akhirnya”, perlahan suara itu. Lengan baju ditarik ke dahi mengesat
baki peluh. Matanya menatap motorsikal usang itu, walaupun usang tapi
motorsikal inilah yang memberi dia dan keluarganya rezeki selama ini.
Motorsikal usang ini juga yang banyak membantu kehidupannya selama ini.
Kenderaan ini lah yang menjadi sumber pendapatan jualan ikan suatu masa dahulu
dan ia jualah yang telah meragut nyawa ayahnya yang menjadi tonggak keluarga
sehingga dia dan adik-beradik bergelar anak yatim. Itu adalah takdir buat
keluarganya dan dia harus menerima kembali kepada realiti.
“Along,
tolong ambilkan ibu pisang atas tangga”, kedengaran suara tua dari arah dapur.
“baiklah ibu”, ringkas jawapan daripada lelaki tersebut. Luqman Hakim atau
lebih dikenali sebagai along. Dia merupakan anak sulung dalam keluarga
tersebut, seorang abang yang sangat bertanggungjawab. Segala urusannya sanggup
dikorbankan demi kepentingan adik-adiknya.
Pisang
nangka di atas tangga dicapainya, lalu dibawa ke dapur. Matanya sempat
menjeling ke arah adiknya Hadirul Haikal semasa melalui ruang tamu. “ Hadi,
cuba sehari je kau tak mengadap tv tu boleh tak?” tegur Luqman dengan nada
kecewa. Baginya Hadi seorang yang pintar tetapi agak malas. Hasil keputusannya
baru-baru ini melayakkan Hadi untuk menyambung ke IPTA tetapi dia menolak atas
alasan ingin bekerja, walaupun cadangannya itu sudah dinafikan oleh abang dan
ibunya, anak kedua itu tetap berkeras.
Luqman
menghulur pisang lalu disambut lembut oleh ibunya. “ ibu nak buat pisang goreng
ye? Biar Along tolong ibu”, halus tutur kata anak sulung itu. Tangannya
mencapai pisang tersebut lalu dikopek. Sejak kematian ayahnya, ibunya lah
satu-satunya tempat bergantung adik-beradiknya. Berbekalkan kebun pisang di
belakang rumah itu lah mereka sekeluarga dapat hidup. Setiap pagi, ibunya akan
membuat pisang goreng dan Luqman yang akan menjualnya. Tempat yang menjadi
sasarannya adalah kawasan sekolah. Di sana ia lebih dikenali sebagai pisang
goreng Mak Jah.
“Siti
dan Amir dah pergi sekolah ?” soal
Luqman memecah kesunyian. “ ya, dah pergi tadi”, ringkas jawapan daripada
ibunya. Tangannya giat memotong pisang, sesekali angin menyapa rambutnya. Pintu
kayu yang usang itu hanya disandar batu bagi mengelakkan ia tertutup, cukup
damai suasana pagi itu.
Tepat
jam 12.30 tengah hari, Luqman membawa hasil gorengan ibunya tadi untuk dijual.
Sampai sahaja di hadapan sekolah, dia berhenti lalu menunggu kehadiran
pelanggan yang kebanyakannya dari kalangan pelajar. Sesekali ada juga guru dan
ibu bapa yang membeli. Jam di tangan menunjukkan pukul 12.45 tetapi pelajar
masih lagi tidak keluar. Berpayungkan matahari yang terik di kepala, Luqman
tetap berdiri di sana dengan sabarnya menunggu datang pembeli. Sesekali
keringat di dahinya dilap.
Hampir
jam 2 petang baru lah jualannya habis. “Alhamdulillah….” Monolognya dalam hati.
Enjin motor dihidupkan lalu perjalanan pulangnya bermula. Sampainya di rumah,
Luqman segera menyerahkan hasil jualan pisang goreng tadi kepada ibunya.
Sedikit upah dihulurkan kepadanya namun ditolak. Hatinya berasa tidak layak
untuk menerima upah tersebut. “ Abang,mari makan. Ibu masak ayam”, tiba-tiba
muncul suara kanak-kanak lelaki di dapur. Amir Azlan yang merupakan anak bongsu
dalam keluarga tersebut dan masih bersekolah dalam darjah tiga. “makanlan dulu,
abang nak solat”, jawab Luqman sambil melontarkan senyuman.
“
Ibu dapat dari mana ayam ?”, soal Luqman agak kehairanan. Baginya ayam sesuatu
yang agak mewah sekiranya ada di saat keluarganya kesempitan wang. “ ibu beli
pakai duit tabung ibu”, jawab ibunya walaupun mukanya tampak penat, namun wajah
tuanya masih mampu mengukirkan senyuman.
Sungguh,
hati anak mana yang tidak terkesan akan pengorbanan ibu yang sanggup
menggunakan wang simpanannya yang selama ini disimpan untuk umrah suatu hari nanti.
Kasih sayang ibunya tiada tandingan. Lantas Luqman berlalu pergi, matanya
sedikit bergenang.
Seusai
solat, Luqman terus menuju ke dapur untuk mengisi perutnya. Ubi rebus dan air
pagi tadi hanya mampu mengalas perutnya. Hampir sahaja dia ingin menjamah lauk,
tiba-tiba kedengaran suara jerkahan. Dia segera bangkit menuju ke arah suara
tersebut. “ ibu tipu!! Ibu kata tiada duit tapi ni apa?” lantas kedengaran
tabung kayu dihempas. Duit syiling bertaburan di lantai kayu itu. “ itu duit
ibu simpan untuk Hadi, untuk adik-adik Hadi…” lemah suara tua itu. Kelihatan
manik-manik jernih mulai timbul . “ apa yang Hadi buat ni?” bentak Luqman. “
Hadi minta duit untuk beli telefon baru tapi ibu kata tiada. Dah tu ini apa!?”
kemarahan membara. Keadaan semakin tegang apabila tindakan Hadi semakin tidak
rasional. Mengambil duit ibunya semata-mata untuk membeli gadget baru. Luqman
tidak dapat menahan marahnya mula mengangkat tangannya lalu singgah di pipi
adiknya Hadi. “panggg!!!”
“Along,,apa
yang kamu buat ni? Dia adik kamu!” jerit ibunya lantas mendapatkan Hadi.
Dipeluk anak lelaki keduanya itu diusap bekas tamparan yang diterima tadi. Hadi
yang dalam keadaan serba salah menolak ibunya ke tepi. Ibunya jatuh terjelepuk
di samping Luqman. Dengan pantas Hadi mengutip wang kertas di bawah lalu
beredar pergi. Air mata tua itu mula bercucuran. Luqman cuba menghalang tapi
dihalang oleh ibunya. “biarkan dia Along, andai itu dapat menggembirakan
hatinya maka biarkanlah”, ucap ibunya dalam nada tersekat. Luqman memeluk
ibunya, hatinya berbisik sesuatu. “sungguh tinggi kasih sayangmu ibu…”air
matanya mula berlinangan.
Malam
mula menjelma, kelihatan bulan pula yang menggantikan matahari. Suasana dalam
rumah kayu yang berhampiran sungai yang tadinya tegang sudah tenang. Tiada lagi suara-suara kasar. Begitu
juga tangisan, malam yang sunyi itu hanya ditemani bunyi unggas-unggas dan
cengkerik di belakang rumah. Namun di sebalik ketenangan itu, terselit sebuah
kerisauan di hati seorang insan bergelar ibu. Masakan tidak, anaknya yang baru sahaja
menamatkan (SPM) dan baginya masih muda tidak pulang ke rumah gara-gara
dimarahi abangnya. Setelah keluar dari rumah semenjak petang tadi lagi, hatinya
resah cukup risau akan anak keduanya itu.
Tidak
berpuas hati, dia menghampiri Luqman , “Along, cuba kamu pergi cari adik kamu
Hadi, dia tidak pulang-pulang lagi. Ibu risau akan keselamatan dia, entah makan
minum ke belum budak tu”, nadanya penuh kerisauan. Jelas garis-garis kerisauan
di dahinya. “ibu, ibu jangan risau Hadi akan pulang. Tak malam ni, tentu esok,
percayalah”, pujuk Luqman. Bibirnya cuba menguntum senyuman walaupun terdetik
kerisauan di hati kecilnya.
Keesokan
paginya setelah mengemas rumah, Mak Jah segera mendapatkan Luqman. Ayat yang
mula-mula keluar dari mulutnya adalah , “Hadi sudah pulang?” Luqman cuma
menggelengkan kepala. Kelihatan mimik muka ibunya makin sayu. Kesedihan jelas
terpancar. Ibunya mencadangkan agar perkara ini dilaporkan ke pihak polis
tetapi ditolak oleh Luqman atas alasan yang sama. Luqman mengerti kerisauan
ibunya namun dia tidak mahu melibatkan hal ini dengan pihak luar.
Masa
berjalan dengan pantas, Luqman membawa gorengan ibunya untuk dijual seperti
biasa. Tetapi perjalanannya hari ini membawanya menuju dua arah iaitu untuk
menjual dan mencari Hadi, adiknya. Dalam hatinya tidak pernah putus doa untuk
keselamatan adiknya. Kadangkala timbul perasaan menyesal dalam dirinya atas
perbuatannya terhadap adik kandungnya itu. “ semoga Allah menjagamu dik, bisik
hati kecilnya”.
Di
rumah pula, tatkala ibu sibuk membuat kerja rumah tiba-tiba sahaja kedengaran
suara jeritan kanak-kanak lelaki. Dia cuba mengamati suara tersebut. “ibu…ibu…kak
Siti jatuh sungai!” Amir berlari mendapatkan ibunya. Mukanya panik. “ Ya Allah
anakku!!” jerit ibunya lantas berlari ke arah sungai. Kelihatan Siti yang masih
berpakaian sekolah terkapai-kapai antara tenggelam dan timbul.
“tolong….tolong!!” ibunya menjerit meminta tolong. Matanya laju mengalirkan air
mata. Dia tidak tahu apa harus dilakukan.
Atas
takdir Tuhan, Luqman sampai tepat pada waktu kejadian. Melihatkan situasi itu,
tanpa berfikir panjang Luqman terus terjun ke dalam sungai lalu mendapatkan
adiknya. Setelah beberapa minit bersusah payah, akhirnya Siti berjaya
diselamatkan. Ibunya terus mendapatkan Siti lalu memeluk dan menciumnya. Air matanya
semakin laju, diusap rambut puteri sulungnya itu. Jelas terpancar kasih sayang
seorang ibu. Betapa dia cukup menyayangi anak-anaknya, sungguh tidak dinafikan
harga kasih sayang ibu sangat bernilai.
Malam
mula menjelma. Bulan menonjolkan diri kepada seluruh alam bagi membuktikan
kekuasaan Allah. Bintang-bintang berkerlipan di langit, angin sepoi-sepoi cukup
menenangkan. Kelihatan tiga beranak duduk bersama-sama di atas tangga rumah
mereka. Walaupun tadi agak tegang, tetapi sekarang sudah mulai tenang. Luqman
mula membicarakan sesuatu, sedikit nasihat diberikan kepada Siti tentang
percintaan remaja. “jangan disebabkan putus cinta, nak bunuh diri. Benda tu
berdosa dik”, ucap Luqman dalam nada lembut. Siti Cuma mampu mengangguk.
Mukanya masih kelihatan pucat. Dia meminta maaf kepada semua terutama ibunya.
Dia berasa cukup bersalah. Ibunya cuma mampu tersenyum lalu memeluk erat
anak-anaknya.
Suasana
harmoni dan penuh kasih sayang itu tiba-tiba dikejutkan dengan kehadiran
seorang insan. Perlahan-lahan insan yang dianggarkan lelaki itu menghampiri
mereka. Ternyata itu Hadi. Ibunya segera bangun lalu mendapatkan anaknya.
Dipeluk dan diciumnya sepenuh hati. Manik-manik putih mulai mengalir. “ibu,
ampunkan Hadi”,perlahan suara itu. Ibunya mengangguk sambil mendakapi anaknya.
Sungguh jelas kasih sayang ibu terhadap anaknya. Hanya insan yang benar-benar
tahu menghargai sahaja akan merasakan kasih suci seorang ibu.
Benarlah,
begunung emas sekalipun tidak mampu menandingi pengorbanan dan ketulusan sesuci
kasih ibu. Bak kata pepatah “kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah tiada
terhingga” dan “syurga itu di bawah telapak kaki ibu”.
Comments
Post a Comment